Keajaiban Al-Quran Hingga Meremang Bulu Roma.
Beberapa orang Jepun yang dengar kehebatan al-Quran biasanya akan meremang bulu roma mereka.”
Saya terkejut besar setelah mendengar pengakuan kawan saya, Zulkarnain Hasan Basri, orang Perak yang sudah 20 tahun tinggal di Kobe, Jepun.
Beliau berkahwin dengan orang Jepun dan mendapat status Penduduk Tetap di sana. Antara aktiviti beliau di Jepun adalah membawa dakwah Islam kepada penduduk tempatan.
Dalam banyak situasi, orang Islam kalah dengan “akhlak Islam” yang sudah dimiliki orang Jepun dengan budaya tinggi serta disiplin mereka.
Oleh itu, para pendakwah di Jepun perlu mencari ramuan lain bagi memperkenalkan Islam kepada mereka.
Berdasarkan pengalamannya, Zulkarnain dapati pendekatan paling berkesan dalam dakwah kepada orang Jepun adalah dengan menggunakan al-Quran.
Apabila kehebatan isi kandungan al-Quran dibentangkan kepada orang Jepun yang datang menemuinya di Masjid Kobe, bulu roma sesetengah mereka segera tegak berdiri.
Mengapa hanya dengan mendengar ayat al-Quran bulu roma manusia mampu tegak berdiri?
Fenomena meremang bulu roma biasa berlaku ketika manusia berasa takut atau kagum melampau akan sesuatu.
Banyak kita dengar reaksi manusia yang terbakar semangat dengan remangan bulu roma ketika mendengar pidato luar biasa sesetengah tokoh atau dendangan merdu sesetengah penyanyi. Itu baru suara luar biasa manusia!
Bayangkan apa akan jadi jika yang berbicara itu adalah Tuhan semesta alam Pemilik segala keagungan?
Rupanya fenomena ini adalah tindak balas semulajadi manusia yang tersentuh hati jantungnya dengan isi al-Quran. Ia memang disebut al-Quran ertinya;
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain, yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) “kulit badan orang yang takut kepada tuhan mereka menjadi seram (meremang); kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya(Surah al-Zumar 39:23)
Subhanallah! Ayat ini selalu saya baca dan ulas tafsirnya, tapi tidak pernah bertemu secara terus orang yang pernah rasai “remangannya.”
Pertemuan dengan Encik Zulkarnain pada hari Rabu 25 Oktober 2017 lepas telah membuka satu sudut Tafsir praktikal untuk saya dan kita semua.
Inilah bukti kehebatan al-Quran, ia seumpama lautan dalam penuh khazanah berharga dan bermutu tinggi.
Para pembaca, pengkaji dan peminat al-Quran pula seumpama sekumpulan nelayan yang memancing isinya.
Para pemancing memperolehi hasil laut yang berbeza rupa, jenis dan khasiat. Bagi menyempurnakan menu yang datang dengan berbagai zat dan vitamin, para pemancing perlu terbuka dan pandai berkongsi hasil tangkapan.
Dengan cara ini kehebatan dan manfaat isi laut akan benar-benar memberi manfaat buat semua.
Dalam satu sudut lain, kisah remangan bulu roma di atas bagi saya menjadi “tombol pintu hidayah” yang mengingatkan kita semua betapa kita ini sebenarnya pernah berjanji untuk bertuhankan Allah.
Apabila telinga atau mata menangkap kalam Tuhan, jiwa segera tersentuh menghasilkan tindak balas pada kulit seraya hati jantung berkata! Inilah dia “Tuhan” yang aku cari selama ini. Perhatikan firman Allah ini ertinya;
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”(Surah al-A’raf 7:172)
Ayat ini mengingatkan kita semua bahawa kita sebenarnya pernah mengikat “janji iman” dengan Allah lama dahulu di alam roh sebelum kita tercampak ke dunia ini.
Semoga kisah dari Jepun ini membuka mata hati kita agar sentiasa berdamping dengan al-Quran dan menggali isinya secara “baca, faham dan amal.”
Biar selepas ini kulit dan bulu roma kita segera meremang naik kerana kagum dan takut kepada kehebatan Allah.
Mudah-mudahan ia akan menjadi saksi iman kita kepada Allah di akhirat kelak, Insya-Allah!
0 comments:
Post a Comment