9 Ayat Al-Quran Tentang Tafakkur; Ibadah Yang Mudah.
Tafakkur bermaksud berfikir. Ia di ambil dari kata akar ‘fa ka ra’ dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘fikir’. Tahukah kita, tafakkur ini merupakan salah satu ibadah yang paling mudah untuk dilakukan oleh setiap manusia. Ini kerana ia langsung tidak memerlukan apa-apa tenaga, kudrat mahupun modal wang ringgit dan sebagainya untuk melaksanakannya.
Mengapa tafakkur ini amat dianjurkan? Ini kerana terdapat banyak firman Allah SWT yang menyatakan tentang anjuran tafakkur ini. Antaranya seperti berikut;
#1 – Surah Yunus Ayat 101
“Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi.”
#2 – Surah Ad-Dzariyat Ayat 20-21
“Dan, di bumi terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin dan (juga) pada dirimu sendiri. maka, apakah kamu tidak memerhatikannya?”
#3 – Surah Fushilat ayat 53
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di setiap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu benar.”
#4 – Surah Al-A’raf ayat 69
“… maka, ingatlah akan nikmat-nikmat Allah, agar kamu sekalian beruntung.”
#5 – Surah An-Nahl ayat 18
“Dan, jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
#6 – Surah Al-Mujadalah ayat 7
“Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia-lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia-lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian, Ia memberitahu kepada mereka – pada hari kiamat – apa yang telah mereka lakukan. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
#7 – Surah Al-Baqarah ayat 219
“Demikianlah, Allah SWT menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, supaya kamu berfikir tentang dunia dan akhirat.”
#8 – Surah Al-Ankabut ayat 64
“Dan, tiadalah kehidupan dunia ini, melainkan senda gurau dan main-main. Dan, sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”
#9 – Surah Al-Munafiqun ayat 9
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang merugi.”
Tahukah kita, tafakkur ini selain dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, ia juga merupakan ibadah yang boleh melahirkan rasa tauhid, menambah kemakrifatan kepada Allah SWT, melahirkan kecintaan serta syukur kepada-Nya, berfikir tentang janji-janji-Nya, juga menimbulkan rasa kasih dan cinta pada hari akhirat.
Adapun, bertafakkur atau berfikir tentang ancaman mahupun amaran Allah SWT secara tidak langsung akan menimbulkan semangat untuk kita terus beribadah dan beramal, melahirkan rasa takut untuk berbuat maksiat serta menjauhi perkara yang ditegah.
Semoga perkongsian ini dapat menambahkan kecintaan kita untuk menghayati ayat-ayat suci-Nya seterusnya, memikirkan tentang kebesaran penciptaan Allah SWT. Moga bermanfaat. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment