PANTANG LARANG WANITA KETIKA HAID PERLU ANDA TAHU.
Haid dan wanita memang tak dapat dipisahkan. Apa itu ‘haid’? Bagi yang belum mengerti, ‘haid’ dari segi bahasa adalah sesuatu yang mengalir. Manakala, istilah syaraknya pula bermaksud darah yang keluar dari kemaluan wanita secara semula jadi pada waktu tertentu.
Kebiasaannya, haid berlaku kepada setiap wanita pada setiap bulan. Tempohnya pula tidak tetap, bergantung pada keadaan seseorang individu itu. Kadang, ia berkait dengan hormon wanita itu sendiri. Ada yang sehari semalam, 3 hari, 5 hari, 6 hari, seminggu dan maksimum adalah 15 hari. Jika lebih daripada 15 hari, berkemungkinan itu adalah darah penyakit atau istilah lain disebut ‘istihadah’.
Baik, tahukah anda apakah pantang larang bagi wanita yang berada dalam keadaan haid ini? Berikut merupakan larangan yang telah disepakati oleh para ulama. Mari teruskan membaca.
1. Solat
Haram hukumnya bagi wanita haid mengerjakan solat. Jika dia solat sekalipun, solatnya tidak sah dan tidak mendapat apa-apa. Juga, tak perlu diqada’ solat yang ditinggalkan. Bahkan, Rasulullah SAW bersabda :
“Sekiranya datang masa haidmu, tinggalkanlah solat.”
Hadis Riwayat Bukhari
2. Puasa
Tidak wajib bagi wanita haid untuk berpuasa, sama ada berpuasa di bulan Ramadan, puasa sunat, puasa nazar atau puasa ganti. Sekiranya dia tetap meneruskan puasanya itu dalam keadaan haid, maka puasanya itu tidak sah. Namun, apabila tempoh haidnya telah habis, dia wajib menggantikan puasa wajib mengikut bilangan hari yang ditinggalkannya ketika bulan Ramadan, mahupun puasa nazar yang sudah diniatkannya.
3. Tawaf
Bagi wanita yang menunaikan ibadah haji atau umrah, perlu memerhatikan hal ini. Apabila tiba masanya di sana, dan didapati anda dalam keadaan haid atau tidak suci, dilarang sama sekali untuk melakukan tawaf di sekeliling Kaabah, baik yang wajib mahupun sunat. Adapun, ibadah yang lain masih boleh dilakukan seperti biasa antaranya saie, berwuquf, melontar jamrah dan bermalam di Mina.
Hal ini sepertimana sabda Rasulullah SAW kepada Aisyah ;
“Lakukanlah segala apa yang dilakukan oleh orang yang menunaikan ibadah haji. Tetapi, engkau tidak boleh melakukan tawaf di Kaabah sehingga engkau suci.”
Hadis Riwayat Bukhari
4. Berhubungan Suami Isteri
Bagi wanita yang sudah berumahtangga, perhatikanlah baik-baik hal ini. Sekiranya anda terlepas pandang atau ambil ringan hal ini, bimbang akan terjadi hal yang tidak baik pada masa akan datang.
Larangan ini sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud ;
“Mereka bertanya kepadamu berkenaan haid. Katakanlah, ‘haid itu adalah kotoran’. Oleh sebab itu, kamu perlu menjauhkan diri daripada wanita pada waktu haid dan jangan kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci.”
Al-Baqarah : 222
5. Talak
Bagi lelaki yang sudah mendirikan rumahtangga, anda juga perlu alert bab ini. Haram bagi para suami untuk mentalak isteri ketika haid. Setiap larangan sudah pasti ada hikmahnya. Sekiranya wanita diceraikan ketika dalam keadaan haid, sukar bagi dirinya untuk mengira tempoh iddah yang menjadi garis panduan buat wanita yang ditinggalkan para suami.
Adapun larangan seperti membaca al-Quran, memegang al-Quran, beriktikaf dalam masjid, memotong kuku, rambut, mencabut bulu dan lain-lain, para ulama berselisih pendapat berkenaan hukumnya. Hal ini disebabkan kefahaman atau perbezaan dalam mentafsirkan sesuatu nas.
Wallahua’lam.
KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai yang akan mendapat manafaat.
0 comments:
Post a Comment