Beza Air Mani Yang Keluar Dari Kemaluan.
Soalan; Ustaz, saya baru melangsungkan perkahwinan. Beberapa persoalan timbul semasa melakukan hubungan seks dengan isteri di antaranya:
1) Adakah air yang keluar dari kemaluan isteri hukumnya najis?
2) Sekiranya air tersebut keluar perlu kah si isteri mandi wajib?
Sekian&T.kasih
Jawapan:
Air yang keluar dari kemaluan kebiasaannya tidak lari dari empat jenis;
1. Air kencing
2. Air Mazi
3. Air Madi
4. Air Mani
Dari empat air di atas, tiga darinya adalah najis iaitu air kencing, air madi dan air mazi. Adapun air mani ia tidaklah najis kerana ia adalah asal kejadian. Adapun ciri-ciri setiap air di atas -untuk memudahkan kita mengenalinya-, maka berdasarkan keterangan ulamak;
– Air kencing; cirinya sebagaimana sedia maklum
– Air Mazi; cirinya adalah melekit dan keluar dari kemaluan (zakar atau faraj) biasanya tatkala naik syahwat.
– Air Wadi; cirinya ialah kental, berwarna putih dan keluar dari kemaluan sesudah buang air kecil atau ketika memikul benda berat.
– Air Mani pula; air mani lelaki, cirinya; berwarna putih dan tebal/kental. Adapun air mani perempuan; warnanya kuning dan nipis/cair (yakni tidak kental). Kedua-dua air mani lelaki dan perempuan itu ada ciri kebersamaannya, iaitu;
a) Bau air mani perempuan sama seperti bau air mani lelaki iaitu seperti bau tepung diuli,
b) Dirasai kelazatan ketika keluarnya dan selepas keluarnya badan merasai keletihan dan syahwat menjadi reda.
Menyentuh tentang mandi, dari empat air di atas, hanya keluar air mani sahaja yang mewajibkan mandi. Adapun keluar kencing, mazi dan wadi, tidakah mewajibkan mandi, akan tetapi ia adalah najis dan membatalkan wudhuk dengan keluarnya. Oleh demikian, apabila keluar air-air selain mani itu, yang wajib dilakukan sebelum solat ialah membasuhnya dan mengambil wudhuk.
Perlu diperjelaskan; apabila seorang lelaki mensetubuhi isterinya, kedua-dua suami-isteri wajib mandi walaupun tidak keluar mani. Ini kerana persetubuhan itu sendiri telah mewajibkan mandi tanpa mengira keluar mani atau tidak. Yang dimaksudkan persetubuhan ialah memasukkan zakar ke dalam faraj.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 2 (juz. 3), bab Wujub al-Ghasl ‘Alal-Mar,ah.
2. Fiqh at-Thoharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 226.
3. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/374.
0 comments:
Post a Comment